VIRUS BABI : kes pertama di malaysia

dipetik daripada MALAYSIAKINI online ;
Kes pertama flu A(H1N1) di Malaysia, di Sungai Buloh dekat dengan kita.

May 15, 09 1:40pm kemaskini 4.26pm

Seorang pelajar 21 tahun mangsa pertama disahkan positif dijangkiti wabak influenza A(H1N1) atau selesema babi - kes pertama di Malaysia, demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini."Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A(H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan hari ini," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican."Ia merupakan kes yang pertama influenza A(H1N1) dikesan di Malaysia." Pelajar itu, yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalamdan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama."Beliau telah diberi rawatan antivirus dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan di laman web rasmi kementerian berkenaan.Kementerian telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan mangsa dengan orang lain, termasuk ahli keluarganya dan penumpang serta anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, USA yang tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.
Kementerian juga meminta semua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut supaya menghubungi talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk tindakan susulan, kata Dr Mohd Ismail.Menurut kenyataan itu lagi, kementerian meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa merujuk segera kes-kes mereka yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak tersebut dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut - batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak - ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.Sehingga jam 12 tengah malam tadi, selain kes di atas, Pusat Tindakan dan Persiapan Krisis (CPRC) kementerian menerima 11 lagi notifikasi kes - enam kes dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh, dua di hospital Seremban dan masing-masing satu kes di hospital Ipoh, Hospital Pulau Pinang dan hospital Kota Bharu bagitujuan siasatan dan pemerhatian. Sehingga 8 pagi tadi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan satu lagi negara baru terjejas dengan influenza A (H1N1) iaitu Belgium yang melibatkan satu kes menjadikanjumlah keseluruhan negara terlibat menjadi 34 buah. Kes terkumpul di serata dunia sebanyak 7,457 kes disahkan oleh ujian makmal dengan peningkatan sebanyak 1,378 kes berbanding dengan laporan pada hari sebelumnya, kata kementerian lagi.Peningkatan ini dilaporkan di enam buah negara iaitu di Amerika Syarikat (946 kes), Mexico (387), Kanada (31), Panama (10), Colombia (3) dan Belgium (1).Dua lagi kematian dilaporkan di Mexico, menjadikan keseluruhan kematian kepada 65 orang.WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran influenza pandemik diFasa 5 sejak 29 April dan tidak menyarankan sebarang tindakan sekatan perjalanan, perdagangan serta penutupan sempadan bagiperlindungan kesihatan antarabangsa.
Dr Mohd Ismail memanggil satu sidang media khas berhubung perkara ini di Putrajaya jam 3 petang tadi.Mengesahkan kes pertama itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kakitangan kesihatan sedang berusaha mengesan semua penumpang dalam penerbangan MH 091 dari Newark dan mereka yang berhubungan dengan pelajar itu sejak kepulangannya."(Tindakan) ini amat penting dan semua perlu beri kerjasama untuk mencegah penularan wabak penyakit ini di negara ini," katanya dari London, lapor Bernama.Liow, dalam perjalanan ke Geneva, Switzerland untuk menghadiri Perhimpunan Agung WHO dan sedang transit di London.Dalam kenyataan yang sama, Dr Mohd Ismail berkata tiada risiko mendapat jangkitan influenza A(H1N1) jika daging atau produk babi disediakan dan dimasak secara betul."Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi influenza A(H1N1) di negara ini. Kementerian dengan kerjasama semua agensi terlibat sentiasa meningkatkan pemantauan situasi influenza A(H1N1) dalam memastikan tindakan proaktif diambil bagi melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia," katanya.

Comments